RSS

Daily Archives: July 15, 2011

Mat Salleh

Datu Mat Salleh, lebih dikenali dengan mudah sebagai Mat Salleh, merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam penentangan yang hebat terhadap penjajahan British di Sabah. Beliau pernah mengisytiharkan daerah Tambunan sebagai daerah di bawah kekuasaannya.

Mat Salleh ialah anak kedua dalam sekeluarga empat adik-beradik daripada suku Βajau dan Ѕulu. Ibunya daripada suku Bajau. Abangnya bernama Ali, sedangkan adik-adiknya bernama Badin dan Bolong. Isteri Mat Salleh yang bernama Dayang Bandang berasal daripada keluarga Kesultanan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan.

Perjuangan

Datu Mohammad Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.

Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kampung Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896.

Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Syarikat Berpiagam Borneo Utara bermula pada bulan Julai 1897. Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni di Ambong.

Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh. Seterusnya pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan tentera yang lebih besar.

Mat Salleh terpaksa mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.

Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.

Tidak lama kemudian, pihak Kompeni menawarkan perdamaian dan Mat Salleh bersetuju, walaupun ditentang orang-orangnya. Tetapi pada 1899, Kompeni cuba mengambil alih Tambunan daripada Mat Salleh dan menyebabkan peperangan tercetus kembali.

Dan akhirnya pada 31 Januari 1900, kota Mat Salleh tumbang akibat serangan hebat Kompeni yang berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Dan peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, ‘Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya’.

Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi pada kaca mata rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan. Bagaimanapun, terdapat sebilangan rakyat tempatan terutama di kalangan keturunan penduduk yang mempunyai sejarah pernah bertempur atau berperang dengan pihak Mat Salleh, yang tidak mengiktiraf Mat Salleh sebagai pahlawan apatah lagi pejuang kemerdekaan kerana Mat Salleh dikatakan berjuang untuk kepentingan diri dan kumpulannya sahaja dan bukan secara menyeluruh.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Pejuang Tanah Air

 

Yamtuan Antah

PERJUANGAN menentang penjajah di Negeri Sembilan dipelopori Tunku Laksamana Antah Ibni Almarhum Raja Radin atau dikenali Yamtuan Antah yang juga Yamtuan (pemerintah) kelapan bagi kawasan Seri Menanti.

Perjuangan di negeri itu bermula pada Mac 1872 apabila Datuk Kelana Sungai Ujong, Datuk Laksamana Syed Abdul Rahman membuat perjanjian membenarkan seorang Inggeris, Henry Velge membuka lombong bijih timah di Sungai Ujong (kini Seremban).

Bermula detik itu, British bertapak di Negeri Sembilan. Kemarahan orang Melayu semakin meluap-luap pada April 1874 apabila Datuk Kelana Syed Abdul Rahman dan Datuk Muda Linggi pergi ke Singapura untuk bertemu British membuat satu perjanjian dengan wakil British, Andrew Clarke yang boleh merugikan bangsa dan tanah air iaitu menawarkan Sungai Ujong berada di bawah lindungan penjajah  itu.

Lebih mengecewakan apabila pada Ogos tahun sama Datuk Kelana menghantar surat kepada Clarke yang mengalu-alukan kehadiran seorang residen untuk menasihatinya memerintah Sungai Ujong.

Bendera Union Jack akhirnya dinaik dan dikibarkan di puncak tiang berhampiran rumah Datuk Kelana di Ampangan pada September 1874, seterusnya disusuli istiadat tembakan meriam sebanyak 21 das seolah-olah British cuba memberitahu penduduk yang mereka berkuasa di Sungai Ujong.

Bagi mengukuhkan kedudukannya di Sungai Ujong, Datuk Kelana yang dibantu kira-kira 150 askar British lengkap bersenjata kemudian menyerang Datuk Bandar Tunggal dan membakar Rahang yang dimusuhinya pada November 1874. Datuk Bandar Tunggal akhirnya mengaku kalah akibat serangan itu.

Dengan kejayaan itu pada awal 1875, Residen British pertama di Sungai Ujong, PJ Murray dilantik untuk membantu Datuk Kelana  memerintah. Pembesar lain di Negeri Sembilan jelas tidak setuju dengan dasar berkenaan.

Bagi mereka, tindakan Datuk Kelana membawa masuk British ke Sungai Ujong umpama mengundang penjajah untuk menjajah negeri mereka.

Hari berikutnya memperlihatkan yang Datuk Kelana masih tidak menghiraukan pandangan pembesar lain. Lalu pakatan pembesar menabalkan Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Seri Menanti yang mana jajahan itu meliputi Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol.

Tindakan Datuk Kelana membenarkan British bertapak di Sungai Ujong mengeruhkan hubungan antara dirinya dengan pembesar lain termasuk Yamtuan Antah. Yamtuan Antah akhirnya tidak mengiktiraf Datuk Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong.

Pertengahan 1875, di bawah lindungan British, Datuk Kelana mengisytiharkan Terachi yang terpisah oleh Bukit Putus, sebagai sebahagian daripada wilayah miliknya iaitu  Sungai Ujong sekali gus mencetus api pertelingkahan dengan Yamtuan Antah.

Datuk Kelana dan British bertindak melantik orangnya sebagai pemerintah Terachi dengan anggapan daerah itu sudah menjadi milik mereka pada November tahun sama. Yamtuan Antah yang semakin berang kemudian memecat Datuk Pemerintah Terachi yang dilantik Datuk Kelana.

Residen British, Murray yang berpihak kepada Datuk Kelana menganggap perbuatan Yamtuan Antah itu sebagai mengganggu daerah pemerintahan Datuk Kelana dan melanggar undang-undang.

Pada 27 November 1875, Murray ke Terachi bersama 20 askar diketuai Leftenan Hinxman selain 30 polis dan masing-masing seorang doktor dan jurubahasa Australia bernama Dominic Daly pergi ke Terachi, tetapi mendapati tiada kekacauan berlaku di kawasan itu.

Sehari kemudian, Murray kembali ke Sungai Ujong tetapi Daly ditinggalkan di Terachi untuk mengukur  jarak antara Kampung Terachi dengan Kuala Pilah. Di tepi sebatang sungai, Daly bertemu sekumpulan penduduk seramai 200 orang yang menuntut lelaki asing itu dan orang-orangnya balik ke Sungai Ujong.

Daly ketakutan, dia segera meminta bantuan Murray di Sungai Ujong dan Residen British itu bertindak menghantar pasukan askarnya yang diketuai Hinxman. Kedatangan bantuan tentera British ke lembah Terachi itu segera dimaklumkan kepada Yamtuan Antah.

Kedatangan British itu seolah-olah mencabar kedaulatan Seri Menanti lalu Yamtuan Antah mengerahkan pasukannya seramai kira-kira 4,000 orang supaya bersedia untuk menghadapi peperangan.

Kebangkitan Yamtuan Antah untuk mengusir penjajah itu turut mendapat sokongan beberapa pembesar antaranya Datuk Siamang Gagap, Tengku Besar Tampin, penduduk Rembau, Jelebu dan Johol.

Seterusnya pasukan perang Yamtuan Antah segera mendaki  dan menyeberangi Bukit Putus untuk memasuki Paroi. Di situ, Yamtuan Antah mengutus surat amaran kepada Murray supaya tidak lagi mengganggu kedaulatan Seri Menanti dan menceroboh Terachi.

Murray yang ketakutan melihat kebangkitan penduduk dipimpin Yamtuan Antah segera meminta bantuan ketenteraan dari Negeri-negeri Selat.

Keadaan British di Sungai Ujong semakin genting kerana mereka khuatir penduduk akan menyerang. Hinxman dan askar lain yang berada di Rasah, segera menggali parit dan membuat kubu pertahanan di sekeliling tapak perkhemahan tentera mereka.

Pada Disember 1875, pasukan Yamtuan Antah seramai 200 orang berjaya menawan Paroi dan mereka membina kubu di situ tetapi di Sungai Ujong, bantuan British dari Melaka yang terdiri daripada 20 askar diketuai Leftenan Peyton tiba untuk menentang kebangkitan penduduk.

Dengan bantuan tambahan, Hinxman membawa satu  pasukan perang seramai 30 askar, 30 polis dan enam askar Arab dari Rasah untuk menyerang pasukan Yamtuan Antah di Paroi.

Bagaimanapun, sebaik sampai, pasukan British terlebih dulu diserang penduduk menggunakan senapang. Bilangan pejuang tempatan yang lebih ramai daripada pasukan Hinxman menyebabkan musuh hampir dapat dikepung dan ditahan.

Menyedari mereka akan kalah, askar British yang ketakutan segera melarikan diri dan balik ke Rasah. Tentera Yamtuan Antah berjaya menduduki dan bertahan di sebuah rumah di tepi Sungai Linggi.

Pada 5 Disember 1875, British semakin tertekan apabila pasukan diketuai Hinxman gagal merampas kembali Paroi. Mereka merancang serangan yang lebih hebat. Menggunakan meriam milik Datuk Kelana, mereka membedil pertahanan tentera Yamtuan Antah. Penduduk yang tidak dapat mempertahankan serangan meriam itu segera berundur.

Pada Disember  1875, pasukan askar British diketuai Hinxman sampai di Paroi dan mula menyerang kubu pertahanan Yamtuan Antah. Pertempuran hebat menggegarkan bumi Paroi pada hari itu.

Selepas satu jam berbalas tembakan, askar British akhirnya berjaya menyeberangi paya yang terbentang di hadapan kubu pertahanan Yamtuan Antah walaupun beberapa jasad askar mereka berjaya ditembak.

Hinxman dan Peyton kemudian nekad untuk terus memusnahkan kubu pertahanan tentera Yamtuan Antah. Mereka membawa satu pasukan seramai 20 askar British dan Arab menuju ke kubu pertahanan Yamtuan Antah tetapi mereka tersesat jalan. Dalam kebingungan, mereka terus diburu askar tempatan.

Tunku Laksamana akhirnya dilantik sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti

BANTUAN tambahan yang diminta Murray tiba di Sungai Ujong pada 8 Disember 1875. Diketuai Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Anson, lelaki asing itu  tiba bersama pasukan perang terdiri daripada 350 askar British yang dibawa dari Melaka.

Kekalahan dalam pertempuran sebelum itu, menyebabkan British memperkuatkan serangan terhadap tentera Yamtuan Antah di Paroi. Kali ini, menggunakan beberapa pucuk meriam, mereka membedil kubu Yamtuan Antah.

Selepas melepaskan 10 das tembakan meriam, pasukan Yamtuan Antah terpaksa berundur. Selepas pertempuran hebat itu mengorbankan 37 askar British dan Arab selain mencederakan ramai pihak, akhirnya Paroi dapat dirampas semula British.

Pada 10 Disember 1875, bantuan British terus dibawa masuk iaitu pasukan askar Gurkha seramai 250 orang berserta pegawainya seramai 32 orang. Pasukan meriam daripada kapal perang HMS Thistle turut tiba di Sungai Ujong.

Dengan kekuatan tentera itu, Leftenan Kolenal Clay iaitu Ketua Pemerintah Askar Sungai Ujong merancang menyerang Bukit Putus  yang masih berada di bawah kekuasaan pengikut Yamtuan Antah, daripada pelbagai penjuru.

Pada 19 Disember 1875, satu pasukan perang British diketuai Murray bertolak dari Sungai Ujong menuju Bukit Putus melalui Langkap. Clay pula mengetuai pasukan seramai 280 orang.

Akhirnya berlaku pertempuran antara pasukan British dan pejuang tempatan di Bukit Putus dan akhirnya kawasan itu berjaya ditawan British. Selepas menawan Bukit Putus, Clay bersama pasukannya menuju Seri Menanti.

Menyedari kehadiran musuh, Yamtuan Antah dan keluarganya terpaksa berundur meninggalkan Seri Menanti dan bergerak mencari perlindungan di Johor.

Di negeri itu, Yamtuan Antah bertemu Sultan Johor, Maharaja Abu Bakar. Maharaja Abu Bakar kemudian menasihati baginda supaya berdamai dengan British. Dengan pertolongan Sultan Johor itu, pada Mei 1876, Yamtuan Antah membuat pertemuan dengan Gabenor  Singapura iaitu William Jervois.

Yamtuan Antah bersama empat pembesar dari daerah Seri Menanti, Johol dan Inas sekali lagi menemui Gabenor British di Singapura pada November 1876.

Dalam pertemuan itu, pihak British memikirkan yang adalah lebih baik berdamai dengan penduduk setempat bagi menunjukkan imej baik mereka.

Lalu Kerajaan British bersetuju melantik Yamtuan Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti. Daerah lain dalam Negeri Sembilan akan diserahkan di bawah kekuasaan Ketua Daerah masing-masing manakala daerah Sungai Ujong berada di bawah kekuasaan British.

Selepas dua tahun berundur ke Johor, akhirnya Yamtuan Antah kembali ke tanah airnya, Seri Menanti. Beliau hanya sempat tinggal di Bandar Diraja itu selama 11 tahun apabila pada 1888, beliau meninggal dunia.

Tamatlah riwayat seorang pemerintah yang begitu cintakan tanah air sehingga sanggup  melancarkan peperangan bagi mengusir British dari terus menjajah penduduk tempatan.

Semangat perjuangannya akan terus kekal diingati dan harap diwarisi seiring kewujudan daerah Seri Menanti khususnya dan Negeri Sembilan umumnya.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Pejuang Tanah Air